14 April 2008

Tips2 berguna untuk temuduga anda.(dirujuk dari artikel sedia ada)

Objektif Penemuduga.
Anda pasti mempunyai objektif anda yang tersendiri apabila memohon sesuatu pekerjaan, dan apabila anda dipanggil untuk ditemuduga, anda juga mungkin mempunyai matlamat yang anda ingin capai sekiranya berjaya melepasi temuduga tersebut. Ya anda sudah tentunya tahu akan objektif anda sendiri.

Tapi tahukah anda akan objektif penemuduga anda? Untuk berjaya dalam temuduga, anda perlulah mengetahui objektif penemuduga anda.
Berikut adalah diantara objektif-objektif penemuduga

Lazimnya, penemuduga akan mencari calon dengan ciri-ciri berikut :
1. Kebolehan berkomunikasi yang baik
2. Mempunyai kelayakan yang relevan
3. Bersemangat
4. Berinisiatif
5. Mempunyai rekod pekerjaan/pelajaran yang baik
6. Berwatakan Menarik

Perkara yang menjelikkan penemuduga
Berikut adalah perkara-perkara yang sepatutnya anda elakkan ketika berada dalam bilik temuduga untuk mengelakkan penemuduga berasa bosan dan jelik kepada anda :
1. Bercakap perkara-perkara yang tidak berkaitan secara keterlaluan
2. Tidak memberikan tumpuan kepada penemuduga tertentu apabila ditemuduga lebih dari seorang penemuduga
3. Mengelak dari menjawab soalan penemuduga
4. Memandang rendah akan pengetahuan penemuduga, ini dapat dilihat dengan jawapan anda
5. Mencabar penemuduga dengan bertanyakan soalan yang rumit dan terlalu teknikal
6. Menggunakan nama-nama orang berpangkat atau terkenal dalam perbualan anda dengan temuduga dengan harapan penemuduga tersebut kagum dengan anda

Perkara-perkara ini bukan sahaja membosankan penemuduga, malah akan membuatkan penemuduga merasa jelik dengan anda dan seterusnya mengambil keputusan untuk mengenepikan permohonan anda untuk mendapat jawatan tersebut.


Kawal emosi semasa temuduga
Semasa berada di bilik temuduga, kerapkalinya anda akan ditanyakan soalan-soalan yang anda kurang bersedia. Soalan-soalan ini kebanyakkannya seolah-olah "mencabar" kewibawaan anda.

Apa yang perlu anda lakukan adalah :
1. Ingatkan diri anda bahawa penemuduga sedang menguji anda
2. Jawab dengan jelas dan lantang
3. Kikiskan sifat ego anda
4. Tenangkan diri anda sebelum menjawab soalan, selalunya penemuduga akan cuba menggunakan jawapan anda untuk membidas
5. Banyakkan senyuman
6. Berikan penekanan dalam jawapan anda yang menyokong butiran-butiran yang tertulis dalam CV/Resume anda. Berikan penekanan kepada pencapaian anda yang tidak boleh dicapai orang lain
7. Jangan sesekali menunjukkan anda hilang minat terhadap pekerjaan ditawarkan


Selain itu, anda dinasihatkan supaya jangan tergopoh gapah menjawab soalan-soalan sebegini dari temuduga, ambil masa untuk berfikir sejenak,dan jawablah dengan fikiran yang tenang.


Tingkahlaku dan Adab Semasa Temuduga
1. Semasa hendak masuk ke bilik temuduga JANGANLAH gentar. Buatlah seperti biasa saja. Ucapkan "Selamat Pagi" atau "Selamat Petang" mengikut pada keadaan waktu. Ini nanti akan memberi perasaan mesra di antara anda dan penemuduga.
2. Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak berbuat gerakan dahulu yang ianya hendak berbuat demikian.
3. Janganlah anda duduk selagi tidak disuruh. Apabila anda disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Jangan menggelisah.
4. Jangan anda letakkan barang-barang atau tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga itu.
5. Jangan anda cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan itu.
6. Jangan goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya di sana sini. Jangan pula anda cuba hendak membaca surat-surat dan lain-lain kertas di atas meja penemuduga itu
7. Biarkan penemuduga itu memulakan temuduga.
8. Janganlah anda menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah. Sebaliknya jawablah dengan tenang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang anda beri itu hendaklah tepat. Jangan bercakap panjang lebar, dan jangan gunakan bahasa kasar
9. Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu. Jika ahli-ahli panel yang menemuduga itu lebih daripada seorang maka arahkan jawapan-jawapan anda kepada Ketua Panel
10. Gunakan perkataan seperti Tuan atau Puan pada orang yang tertentu dari masa ke semasa, tetapi janganlah selalu menggunakannya
11. Jangan menyampuk semasa penemuduga itu sedang bercakap dan jangan sekali-kali berbalah dengannya.
12. Jangan merokok ataupun mengunyah apa-apa di dalam mulut
13. Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa dalam temuduga.
14. Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal itu, janganlah cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja, kerana ini akan melemahkan peluang anda. Eloklah anda bercakap terus terang yang anda tidak tahu jawapannya.
15. Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan, kegemaran dan aktiviti anda. Jangan bercakap melebihi dan yang tidak sepatutnya.
16. Jangan berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
17. Jika anda pernah bekerja dahulu, berilah keterangan dengan ringkas dan tepat berkenaan dengan pekerjaan itu.
18. Jangan sekali-kali anda cuba hendak mencela bekas majikan anda.
19. Nyatakan kelayakan dan kelulusan anda yang benar, tetapi janganlah membesar-besarkan perkara itu.
20. Anda hendaklah mengetahui serba sedikit akan tugas-tugas yang bersabit dengan pekerjaan itu, masa yang dijangka kena bekerja dan gajinya yang akan dibayar pada permulaannya.
21. Bersedialah untuk memberitahu kadar gaji yang anda ingin. Walau bagaimanapun biarlah penemuduga itu mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.
22. Jika penemuduga tidak menyatakan tarikh yang sepatutnya anda mengetahui keputusan temuduga itu, eloklah anda bertanya supaya anda boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan itu. Jika ia bersetuju tanyakan tarikh dan masa yang sesuai baginya.
23. Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
24. Ucapkan terima kasih kepada penemuduga kerana memberi peluang kepada anda menyertai temuduga itu.

Nilaikan diri anda
Sebelum anda menghadiri temuduga, anda seharusnya sudah dapat menilai diri anda sendiri sebelum dinilaikan oleh penemuduga.

Anda perlu melihat diri anda dari segi
1. Kelebihan diri sendiri
2. Personaliti
3. Pencapaian Akademik dan Pekerjaan
4. Kekuatan dan kelemahan
5. Persepsi
6. Pengetahuan Am
7. Pengalaman Kerja

Kebanyakkan soalan penemuduga berkisar kepada aspek-aspek diatas. Cuba selami diri anda, dan senaraikan butir-butir tersebut, kenalpasti kelemahan anda dan cuba perbaikinya sebelum menghadiri temuduga.

Ini dapat memastikan anda dapat menjawab soalan penemuduga dengan lebih yakin dan positif.

Bagaimanakah ketrampilan diri yang sesuai untuk menghadiri temuduga?

1) Cara berpakaian
Cara berpakaian dan jenis pakaian ketika menghadiri temuduga juga boleh menjadi penentu
kejayaan anda dalam sesi temuduga. Oleh itu banyak yang telah diperkatakan dengan konsep "Berpakaian untuk kejayaan".Di sini dinyatakan beberapa perkara berkaitan cara berpakaian.
i) Perkara yang tidak elok pada kedua-dua pihak iaitu calon dan panel penemuduga:
Tindik telinga atau badan yang mudah dilihat . "Tatto" atau menanda badan secara kekal dan mudah dilihat
- Pemakaian pewangi secara berlebihan

ii) Perkara yang tidak elok untuk lelaki:
Warna pakaian (Hitam, Merah dan Berwarna-warni)
Jenis pakaian (Jeans, t-shirt dll) - Jenis tali leher (warna tidak sepadan dengan warna pakaian)
Berambut panjang dan berekor - Mewarnakan rambut dengan warna-warna tertentu yang menyakitkan mata
iii) Perkara yang tidak elok untuk wanita:
Pakaian yang menjolok mata.
Pemakaian warna kain tudung yang tidak sesuai.
Warna pakaian yang garang / striking
2) Tips ketika masuk Bilik Temuduga
Cara-cara yang patut dipraktikkan adalah seperti berikut:
Bangun dan berdiri tegak, kemudian hulurkan tangan untuk berjabat salam bersama panel penemuduga.
Berjabat salam secara lembut tetapi tegas
Jangan sekali-kali berjabat salam secara longlai dan tidak bertenaga
Berikan senyuman ringkas yang menarik
Ucapkan Selamat Pagi, Gembira dapat bertemu tuan/puan dan akhiri dengan Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi salah seorang calon temuduga syarikat tuan.
3) Tips ketika temuduga berlangsung
Gunakan masa dengan cara yang bijak untuk memperkenalkan diri anda dan seterusnya mewujudkan keserasian.
Untuk tujuan ini, anda perlu pantas mencari topik-topik yang disukai oleh panel penemuduga.Caranya dengan perhatikan keadaan sekeliling bilik temuduga atau gaya panel penemuduga untuk mendapatkan sedikit panduan atau gambaran mengenai topik-topik yang disukai.
Bawa salinan "resume" ketika menghadiri sesi temuduga.
Anda dinasihatkan supaya membawa salinan resume untuk diberikan kepada panel penemuduga bagi memudahkan mereka. Sekiranya anda mempunyai portfolio kerjaya yang menerangkan secara terperinci tentang tanggungjawab anda di dalam sesuatu pekerjaan terkini atau terdahulu, sila bawa dan berikan kepada panel penemuduga.
3) Tips ketika temuduga berlangsung (sambungan)

Pastikan anda sentiasa bertentangan mata secara berhadapan dengan panel penemuduga di dalam setiap sesi temuduga.

Ini kerana mata tidak boleh menipu dan mata juga dapat menggambarkan keikhlasan dan kesungguhan anda. Oleh itu, sentiasa kekalkan pertentangan mata dengan panel yang memberi soalan dan pada masa yang sama sentiasa memerhatikan panel-panel yang lain. Jangan sekali-kali memperlekehkan panel-panel yang lain.
Jangan sesekali mengutarakan jawapan sambil tidak bertentang mata dengan panel penemuduga sebaliknya memerhatikan keadaan sekeliling. Jangan sesekali melihat ke bawah dan tidak mempedulikan soalan-soalan yang sedang ditanya oleh panel penemuduga.
Selain pertentangan mata ada beberapa perkara lain yang penting dilakukan oleh calon semasa sedang menghadiri sesi temuduga.
i) Ekspresi muka - Perlu berwajah tenang dan sedikit senyuman
ii) Ekspresi badan -Duduk dengan tegak
- Duduk di bahagian hujung kerusi untuk menunjukkan keperihatinan anda untuk mendapatkan jawatan yang ditawarkan.

4) Cara Bercakap
Selain itu, untuk menunjukkan keyakinan sepanjang sesi temuduga itu anda perlulah melontarkan setiap patah perkataan anda atau jawapan dengan nada suara yang terang, yakin dan konsisten. Jangan cuba berdolak-dalik dan elakkan daripada terperangkap dengan jawapan yang dikemukakan.
Malah anda boleh meminta penjelasan terhadap soalan yang kurang difahami untuk memastikan jawapan yang bakal diberi bertepatan dengan soalan yang dikemukakan.
Namun ada beberapa soalan yang tidak patut anda tanya ketika menghadiri sesi temuduga. Antaranya ialah:
i) Soalan yang berkaitan dengan sistem keselamatan syarikat.
ii) Soalan yang boleh menampakkan kelemahan calon atau panel penemuduga.
iii) Soalan yang berbentuk politik dan konfrantasi.
iv) Soalan yang menunjukkan bahawa anda gagal mendengar soalan yang dikemukakan dengan baik.
v) Jangan sekali-kali membuat pertanyaan berhubung umur, status perkahwinan, anak-anak dan sebagainya.
Adakalanya panel penemuduga sengaja mengutarakan soalan yang tidak sepatutnya ditanya kepada anda. Oleh itu, anda harus tahu cara menangani soalan-soalan seperti itu.
Anda boleh secara terang mengatakan bahawa soalan tersebut tidak sepatutnya diutarakan. Walau bagaimanapun, cara anda menjawab soalan tersebut hendaklah menggunakan cara yang terbaik dan berkesan.

Apakah soalan yang sering ditanya oleh panel penemuduga?

Pada kebiasaannya dalam satu sesi temuduga, soalan wajib yang hampir pasti ditanya ialah "Apakah yang anda tahu tentang syarikat ini?" Malah sekiranya tidak ditanya soalan tersebut, anda seharusnya memberitahu panel temuduga tentang pengetahuan anda terhadap syarikat tersebut.

Ada beberapa cara untuk anda menyelidik atau mendapatkan maklumat sesebuah syarikat. Antaranya:

Melalui laporan tahunan syarikat
Melalui rakan atau kenalan yang bekerja di syarikat tersebut
Melalui pelanggan dan pembekal yang berurusan dengan syarikat
Melalui perpustakaan: cetakan dan kemudahan internet

Cara terbaik untuk mempamerkan atau menunjukkan keinginan anda terhadap jawatan yang dipohon semasa ditemuduga ialah mesra dan sentiasa tersenyum. Bagi mempamerkan keyakinan anda semasa ditemuduga ialah tegas dan suara yang jelas ketika menjawab soalan yang diberikan

Apakah yang anda patut lakukan jika diminta memperkenalkan diri anda?
Jangan cerita mengenai diri/kehidupan anda. Berikan ringkasan mengenai latarbelakang pendidikan, pengalaman di dalam pekerjaan yang lalu adalah lebih membantu permohonan pekerjaan anda.

Jika anda ditanya mengenai kekuatan atau kelebihan anda?
Beritahu mengenai kelebihan yang ada pada diri anda dan bagaimana ia boleh membantu di dalam pekerjaan yang anda pohon.


Dos (Apa yang perlu dibuat semasa temuduga)
Elakkan sesi temuduga menjadi hambar - anda perlu memahami dan peka terhadap isu-isu semasa dan tidak terikat dengan pengetahuan akademik sahaja.
Yakin terhadap diri - pastikan anda berasa yakin sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik temuduga. Keyakinan diri akan membolehkan anda berkomunikasi dengan baik ketika sesi temuduga.
Jaga ketrampilan diri - pandangan pertama boleh pengaruhi pemilihan. Pastikan anda sentiasa kemas, segak dan anggun.
Buktikan kemampuan - anda perlu meyakinkan penemuduga bahawa anda adalah pilihan terbaik untuk mengisi jawatan kosong itu.
Tunjukkan karisma - anda perlulah bijak menyatakan pandangan serta bersikap sederhana ketika melontarkan pendapat. Jangan terlalu berkeras menegakkan pendapat anda dan melekehkan pendapat orang lain.

Tiada ulasan:

ClusterMaps

Jumlah pelawat.